TELUK INTAN, april 29:BALAS…Penyokong dan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak bertindak balas terhadap provokasi dilakukan pembangkang.

Ini bagi mengelak insiden yang tidak diingini antara penyokong kerajaan dan pembangkang, kata Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata.

“Kita akan lawan dengan fakta yang betul ketika berkempen bagi menangkis segala tuduhan tidak bertanggungjawab oleh pembangkang yang sengaja suka menimbulkan isu bercorak sensitif dan bersifat pembohongan,” katanya.

Siew Kong yang juga calon BN bagi Parlimen Teluk Intan berkata beliau mendapat maklumat terdapat penyebaran tohmahan dan berita palsu melalui media sosial bagi memperlekeh calon BN di kawasan Parlimen berkenaan.

Justeru, beliau berharap lebih 66,000 pengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan itu, selain sudah meminta jentera pilihan raya BN menangkis provokasi berkenaan dengan penyebaran maklumat berdasarkan fakta dan sahih.

Siew Keong mengakui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lebih mencabar kerana berlaku pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Teluk Intan dan dua di DUN Changkat Jong dan Pasir Berdamar.

“Dalam tempoh 23 tahun ini pertama kali berlaku pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Teluk Intan.

“Tetapi ini tidak melemahkan semangat saya dan anggota parti komponen dalam BN bagi menangkis serangan pembangkang dan memenangi hati pengundi,” katanya yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Siew Keong berkata dalam tempoh empat tahun lalu, beliau bekerja keras bagi membangunkan Teluk Intan menuju perubahan dengan mendapat banyak peruntukan daripada kerajaan negeri dan Pusat.

Ia membabitkan pelaksanaan projek prasarana awam termasuk pembinaan sekolah, kampus universiti serta lebuh raya membabitkan kos berbillion ringgit yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2022.

“Saya mengajak seluruh pengundi di Teluk Intan memberi sokongan padu kepada calon BN dalam PRU-14 ini kerana rakyat akan mendapat manfaat daripada aspek projek pembangunan yang sedang dalam pelaksanaan,” katanya.-MY WD