KUALA LUMPUR, FEB 25 – RAKYAT…Rakyat perlu memberi sokongan kepada kerajaan yang mana telah menabur bakti dalam mentadbir negara berdekad lamanya, tegas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Setiausaha Agung Barsan Nasional juga mengingatkan, janganlah hanya kerana ada ‘sesetengah’ pihak yang cuba menggulingkan kerajaan demi cita-cita peribadi mereka, rakyat kehilangan kerajaan yang menjaga rakyat.

“Saya rasa amat sedih dengan keadaan politik Malaysia kini, kerana ada orang mempunyai ego yang tinggi, hati yang angkuh.

“Dia ingin jatuhkan kepimpinan yang ada, padahal kerajaan sedia ada ini sedang membawa negara di landasan yang betul.

“Saya tidak faham kenapa puak-puak ini ingin jatuhkan kerajaan. Barangkali kerana tidak kesampaian matlamat,” kata Tengku Adnan.

Beliau merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga anaknya Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Menteri Wilayah Persekutuan yang mesra dikenali sebagai Ku Nan itu berkata demikian selepas merasmikan Program Sukarelawan dalam Penglibatan Komuniti (VOICE) sempena Hari Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Seramai 500 orang sukarelawan terlibat dalam program ini telah berjalan dari Jalan Tun H.S. Lee ke Masjid Jamek sebagai simbolik semangat kesukarelawanan bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan memberi sokongan sosial.

“Kami harap melalui inisiatif sebegini, semangat ini dapat dipupuk secara berterusan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan supaya momementum kesukarelawanan ini sentiasa tinggi,” kata Ku Nan. – MY WD