JOHOR BAHRU, 4 Jan – Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah kota metropolis yang kosmopolitan dan memiliki ekonomi paling progresif.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ini kerana menjelang tahun 2050, 70 peratus penduduk di negara ini dijangka akan menetap di kawasan kota dan bandar besar.

“Aspirasi kita adalah agar bandar ini muncul sebagai metropolis yang menawarkan pelbagai ruang yang menyuluhi aspirasi warganya yang kreatif, berilmu dan berinovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Strategik 2016-2020 dan Malam Apresiasi Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) di sini malam semalam.

Mohamed Khaled berkata beliau yakin pembangunan bandar raya ini akan lebih pantas berbanding bandar raya lain di Malaysia kerana pertumbuhan ekonominya yang berganda dan terancang.

Beliau berkata bagaimanapun, sebelum bandar raya ini mencapai tahap yang diharapkan itu, ia akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan permasalahan antaranya kemiskinan bandar, kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar yang mengancam mutu hidup penduduk.

Justeru, pelan strategik MBJB yang baru dilancarkan itu harus diterjemahkan bukan sahaja menerusi strategi dan pemikiran baharu warga MBJB, malah turut fokus kepada pentadbiran bandar raya, membangunkan visi serta memahami aset, potensi dan sumber.

Beliau berkata, MBJB juga harus memperkaya dan memperkasa segala aset serta prasarana sedia ada bagi memastikan Johor Baharu menjadi bandar raya pintar dan lestari pada masa akan datang.- Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY