KUALA NERUS, 8 Jun – Bonus….Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan pemberian bonus raya sebanyak RM500 kepada 7,128 penjawat awam negeri, termasuk kakitangan Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA).

Beliau berkata ia membabitkan peruntukan berjumlah RM3.56 juta.

“Pada mesyuarat EXCO semalam, kita putuskan untuk memberikan bonus raya kepada 6,230 orang penjawat awam membabitkan jumlah RM3.1 juta, manakala RM449,000 diperuntukkan kepada 898 kakitangan ATRA.

“Bonus ini akan dibayar secara serentak kepada semua yang layak dan diperoleh bersama gaji bulanan sebelum Aidilfitri,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama 374 pegawai dan anggota Kem 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Pantai, semalam.

Terdahulu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM88.8 juta untuk bantuan Dana Raya kepada 239,323 rakyat negeri ini, tahun ini. – WD MY