KUALA LUMPUR,OGOS 19:BERHEMAH…Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan DUN Seri Setia berkempen secara berhemah serta mematuhi peraturan.

Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata tempoh kempen yang panjang selama 21 hari harus dimanfaatkan untuk berkempen kerana ia memberi keadilan kepada calon dan parti bertanding.

“Tempoh berkempen selama 21 hari ditetapkan kerana banyak cuti umum dari hari ini sehingga ke hari mengundi, termasuk cuti Hari Raya Korban dan Hari Kemerdekaan, sekali gus menyukarkan kegiatan kempen calon.

“Maka, kita memutuskan untuk memanjangkan tempoh berkempen kali ini. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak, tetapi kita tidak dapat penuhi kehendak semua orang, kita percaya tempoh kempen lebih panjang ini adil kepada calon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses penamaan calon berakhir di Dewan Utama Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, hari ini. Hadir sama, Pegawai Pengurus PRK DUN Balakong, Datuk Rosli Othman.-MY WD