CAMERON HIGHLANDS,JAN 20: SINDIR…Bekas Perdana Menteri Najib Razak terus menyindir pemimpin-pemimpin PH, pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, kali ini Naib Presiden PKR Tian Chua dijadikan sasaran.

Dalam tulisan terbaru Najib di blognya, anggota parlimen Pekan berkata beliau ke Cameron Highlands hanya untuk makan angin sahaja.

“Pemimpin PH, Tian Chua kata saya ke Cameron Highlands hanya untuk ambil kesempatan meraih ‘cheap publicity‘ (publisiti murahan). Cameron Highlands tempat sejuk, kenapa pula Tian Chua naik panas? Saya ke Cameron hanya untuk berjalan-jalan, makan angin dan membeli strawberi sahaja,” katanya.

“Dan oh, sempatlah melawat kawan-kawan lama dan lihat pembangunan untuk Orang Asli yang dibuat semasa saya PM dulu. Biarlah saya,” tambahnya lagi.

Terdahulu, semalam Tian Chua mengkritik Najib sebagai mengambil kesempatan menggunakan PRK Cameron menjadikan pentas baginya untuk meraih publisiti.

Tian Chua turut berkata penampilan Najib pada PRK Cameron sesuatu yang agak luar biasa.

“Sebenarnya, Najib bukan satu contoh yang terbaik kerana masalah-masalah yang masih diwaris oleh masyarakat di Cameron Highlands ini, dan Najib tidak buat apa-apa sepanjang masa dia jadi perdana menteri.-MY WD