JOHOR BAHRU, MEI 3: Pemimpin yang gagal menyelesaikan isu dipertanggungjawabkan ketika memegang jawatan kerajaan tidak wajar kembali ‘memperjuangkan’ isu yang sepatutnya sudah diselesaikan dulu selepas bertukar ‘kapal’ menyertai pakatan pembangkang.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata isu berkaitan tanah rancangan itu sudah berlarutan lama dan sepatutnya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang lama tahu perkara itu, membantu menyelesaikannya.

Katanya, sejak memegang jawatan itu kira-kira setahun lalu, beliau banyak menyelesaikan pelbagai isu berkaitan FELDA yang sepatutnya turut diselesaikan oleh pemimpin besar sebelum ini.

“Saya tidak ada kawasan FELDA di kawasan Parlimen Johor Bahru, sebaliknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada kawasan FELDA di Parlimen lamanya dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga ada kawasan FELDA ketika beliau jaga Pagoh.

“Bila mereka (Tun M dan Muhyiddin) cakap pasal masalah FELDA, kenapa cakap sekarang? Sepatutnya mereka sudah lama memperjuangkan soal ini jika mereka kata sistem FELDA itu tidak baik.

“Setakat ini yang saya tahu sejak saya memegang jawatan ini, semakin ramai peneroka yang masuk kembali pada sistem FELDA kerana pendekatan saya ialah ke arah membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peneroka secara berstruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Dewan Muafakat Johor yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A Rahman di Kampung Bakar Batu, di sini, hari ini.

Shahrir yang juga penyandang dan calon BN kerusi Parlimen Johor Bahru berkata, pihak pembangkang tidak sepatutnya menyuarakan apa yang tidak betul, sebaliknya menyelesaikannya isu berkaitan.

“Kenapa bila jadi calon pembangkang baru mula nak menyuarakan itu dan ini tidak betul, walhal sepatutnya selama ini kedua-dua pemimpin itulah yang patut selesaikan, takkan nak tunggu orang yang tidak ada kawasan FELDA macam saya selesaikan.

“Masa zaman Muhyiddin apa yang dia buat? Dia pernah menggalakkan pembangunan semula di kawasan tertentu tapi tengok apa jadi dekat kawasan itu, kerajaan juga kena tolong menyelesaikan masalah, tolong bayarkan ketika pilihan raya lalu.

“Sebenarnya rekod kita ini kita tidak boleh lari, sekiranya kita pernah menjadi pemimpin kerajaan, duduk di kerajaan ada rekod. Sekarang bila sudah jadi pembangkang, tiba-tiba pula kata tidak tahu,” katanya.-MY WD