KUALA LUMPUR, 21 Mei – Kerajaan hari ini menafikan bahawa Ketua
Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy,
mengemukakan penyata bank palsu berkaitan akaun anak syarikatnya yang dikatakan
dari cawangan Bank BSI di Singapura.

“Kenyataan ahli Yang Berhormat bahawa Arul Kanda mendapat penyata bank yang
bukan milik BSI adalah tidak benar,” kata Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (Raub-DAP)
yang diedarkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ariff bertanyakan Najib bagaimana Arul mendapat penyata bank yang bukan
milik BSI, dan jika penyata itu bukan dari bank tersebut, ia ternyata pemalsuan
dokumen, dan sama ada ia mendedahkan 1MDB kepada tindakan undang-undang oleh
BSI.

Semalam, Najib menyatakan bahawa baki pelaburan yang dipindahkan dari Cayman
Islands telah ditebus dalam bentuk aset di bank Singapura dan bukan dalam bentuk
tunai.

Ekoran itu, DAP menggesa Arul dipecat kerana menipu rakyat mengenai
kewujudan tunai US$1.103 bilion (RM3.96 bilion) di Singapura.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata Najib dan ahli lembaga pengarah
1MDB mesti menyingkirkan Arul daripada terus memimpin syarikat sarat hutang itu.

Katanya kegagalan Najib memecat Arul akan mencemarkan nama baik beliau dan
ahli lembaga pengarah 1MDB.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY