KLANG,OGOS 2: KERJASAMA…Kerjasama UMNO-PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis mampu menjadi medan ujian yang akan memberi faedah demi kepentingan orang Melayu dan Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata jika kerjasama itu direalisasikan, ia mampu menjadi contoh yang boleh diterapkan di seluruh negara.

“Saya sebutkan (kerjasama) ini sebagai titik permulaan dan cetusan yang kita tidak pernah terfikir akan berlaku dalam PRK Sungai Kandis dan jika disuburkan dengan baik, ia akan memberi faedah kepada perpaduan orang Melayu dan Islam pada PRU-15.

“Saya mengharapkan dalam tempoh ini, akar umbi PAS yang sedang memerhatikan kerjasama ini dapat diberikan penjelasan sebaiknya berhubung realiti negara kita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Penerangan Isu Semasa sempena PRK Sungai Kandis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pandan di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Jamil Khir mengharapkan jika calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam diberikan mandat, ia akan memberi mesej jelas kepada kerajaan bahawa rakyat tertekan dengan manifesto dan janji yang tidak ditunaikan.

“Rakyat harus bangun untuk membawa satu mesej penting bertujuan menyampaikan kepada kerajaan hari ini bahawa janji yang diungkapkan terutama membabitkan harga barang yang menjadi denyut nadi rakyat harus jadi keutamaan dan ditunaikan.

“Kita mahu supaya kekalutan (disebabkan kerajaan) yang sedang berlaku sehingga tiada orang berani menegur, akan ada suara yang berani untuk menegur kerajaan dan Sungai Kandis akan menjadi tapak untuk kita menghantar suara rakyat,” katanya.-MY WD