KUALA LUMPUR, 29 Feb – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menutup tahun 2015 dengan pendapatan dan untung bersih lebih rendah di tengah-tengah persekitaran tekanan harga minyak dan aset bersih yang terjejas.

PETRONAS merekodkan pendapatan RM247.7 bilion, jatuh 25 peratus berbanding RM329.1 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Keuntungan bersih syarikat minyak negara turut susut kepada RM39.8 bilion, jatuh 42 peratus daripada RM69.2 bilion sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata prestasi kurang memberangsangkan itu disebabkan kejatuhan harga minyak pada harga purata AS$52.46 setong daripada purata AS$98.99 setong tahun sebelumnya.

“Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar tahun lalu, PETRONAS masih lagi mencatat keuntungan walaupun ia susut mendadak,” katanya pada taklimat media prestasi kewangan 2015 PETRONAS hari ini.

Bagi suku keempat 2015, pendapatan PETRONAS turut mengecil kepada RM60.1 bilion, jatuh 24 peratus daripada RM79.4 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan syarikat petroleum negara itu juga susut kepada RM9.9 bilion pada suku dikaji daripada RM12.5 bilion tahun sebelumnya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY