PUTRAJAYA, 14 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengedarkan
penutup hidung dan mulut di hospital dan klinik kerajaan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan,
Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sarawak susulan tahap kualiti udara yang semakin merosot.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia akan
diberikan kepada orang awam yang berisiko terdiri daripada kanak-kanak, orang
tua, wanita mengandung, pesakit jantung dan respiratori serta mereka yang
sensitif kepada habuk.

“KKM akan memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa dan edaran penutup
hidung dan mulut akan dibuat di negeri-negeri lain apabila keadaan memerlukan,”
katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata KKM juga telah bersiap sedia dengan memastikan peralatan dan
ubatan bagi rawatan penyakit berkaitan jerebu mencukupi di klinik dan fasiliti
kesihatan.

Katanya sebelum keadaan berjerebu bermula, kementerian telah bersiap sedia
dengan menyemak pelan tindakan menghadapi jerebu selain menghadiri Mesyuarat
Induk Jerebu Kebangsaan yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 28 Ogos lepas.

Dr Noor Hisham berkata mesyuarat itu antara lain membincangkan tindakan
pencegahan jerebu dan tindak balas kecemasan antara agensi bagi menangani
situasi jerebu yang tidak menentu semasa cuaca panas dan kering yang diramalkan
berlanjutan sehingga Oktober ini.

Katanya bagi yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit
mata atau jangkitan paru-paru yang kronik, mereka hendaklah datang ke klinik
dengan segera jika keadaan penyakit bertambah teruk.

“Orang ramai juga diingatkan agar mematuhi nasihat kesihatan semasa jerebu
dengan mengurangkan aktiviti luar, sentiasa cuba berada di dalam bangunan dan
menggunakan penutup hidung dan mulut sesuai jika terpaksa berada di luar,”
katanya.

Tambahnya, orang ramai juga perlu memastikan udara di dalam rumah atau
bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti
asap rokok.

Katanya, ketika memandu, gunakan pendingin hawa dengan memilih mod operasi
kitaran udara dalaman, banyakkan minum air kosong (sekurang-kurangnya 8 gelas
sehari) dan membasuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas
melakukan aktiviti luar.-Siofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY