SEOUL, 14 Mei – Lancar……. Pihak Korea Utara hari ini melancarkan peluru berpandu balistik dari wilayah barat laut, kata tentera Korea Selatan dan laporan media.

“Korea Utara melancarkan peluru berpandu itu pagi ini dari lokasi di Kusong, wilayah Pyongan Utara,” kata Pejabat Ketua Turus Staf Korea Selatan (JCS) dalam kenyataan tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, agensi berita Yonhap berkata, pelancaran peluru itu dipercayai peluru berpandu balistik.

Media pula melaporkan peluru berpandu balistik itu terbang sejauh 700 kilometer, beberapa hari selepas presiden baharu Korea Selatan berjanji untuk mengadakan dialog dengan Pyongyang.

Jepun berkata, peluru berpandu itu terbang selama 30 minit dan jatuh dalam laut di antara pantai timur Korea Utara dan Jepun.

Pelancaran peluru berpandu terbabit adalah yang pertama dalam tempoh dua minggu sejak percubaan kali terakhir menemui kegagalan selepas cuma beberapa minit di udara.

Jepun kemudiannya membuat bantahan.

Ketua Setiausaha Kabinetnya, Yoshihide Suga berkata, tindakan Korea Utara itu adalah melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jepun membantah keras tindakan berkenaan.

Perdana Menteri, Shinzo Abe mengulangi bantahan itu menerusi komen kepada wartawan.

“Pelancaran peluru berpandu Korea Utara secara berulang kali adalah ancaman terbesar kepada negara kami dan jelas melanggar resolusi PBB. Kami akan terus berhubung dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” kata Abe. – WD MY