KUALA LUMPUR, 6 Mei – Sertai…. Lebih 6,000 peserta menyertai Larian Bersama Bomba 2017 sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Dataran Merdeka, di sini, pagi tadi.

Larian kali ke-15 itu dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semua peserta perlu menghabiskan larian sejauh 10 kilometer, tujuh kilometer dan dua kilometer mengikut kategori masing-masing, termasuk VVIP, mengelilingi sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

Seramai 100 peserta terawal yang berjaya menghabiskan larian bagi setiap kategori menerima medal, selain wang tunai dan hadiah lain yang berjumlah lebih RM30,000.

Pelepasan larian disempurnakan secara berperingkat mulai jam 7.30 pagi oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

– WD MY