KUALA LUMPUR, 1 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pembinaan Lebuhraya Pan Borneo
Sarawak akan menjadi pemangkin transformasi kehidupan rakyat dan membawa pertumbuhan
ekonomi yang pesat di negeri itu.

Menurut Perdana menteri di dalam catatan diblognya www.najibrazak.com berkata ia juga dapat
merealisasikan usaha kerajaan melaksanakan pembangunan yang berpaksikan rakyat di Sarawak,
memandangkan lebuh raya berkenaan merupakan penghubung bandar-bandar utama di negeri itu dan
seterusnya bertemu dengan lebuh raya di Sabah.

“Impian saya untuk melihat pembangunan sama rata dan pengurangan jurang
antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semakin menjadi kenyataan.

“Insya-Allah kita akan berusaha melaksanakan projek ini bersama,” katanya.

Semalam, perdana menteri menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan projek
Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,090 kilometer di Sarawak melibatkan
kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd
(LBU) di Putrajaya.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk
Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi
Abdul Ghani dan Pengerusi LBU Tan Sri Abang Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen.

Turut hadir menyaksikan majlis menandantangani perjanjian itu ialah Ketua
Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali
Hamsa dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fasa pertama pembinaan lebuhraya itu melibatkan jajaran sepanjang 773
kilometer yang dijangka dimulakan pada September ini.

Menurut Najib, sebagaimana Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) telah
membuka peluang pembangunan dan penambahbaikan perhubungan antara bandar di
Semenanjung Malaysia, perkara sama boleh dicapai melalui pembinaan Lebuhraya Pan
Borneo.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo melibatkan kos keseluruhan RM27 bilion dan
dijangka siap pada tahun 2020. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY