MANILA, 27 April – Kongsi…. Kejayaan Malaysia membangunkan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah antara perkongsian utama yang dinanti Filipina pada sidang kemuncak anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) di sini, esok.

Penasihat Keusahawanan Presiden Filipina, Joey Concepcion, berkata negara itu amat berminat mempelajari pengalaman dan menimba kepakaran Malaysia dalam menggerakkan PKS dalam membantu golongan sasar.

Menulis dalam kolum akhbar harian The Philippine Star hari ini, beliau antara lain berkata, pendekatan Malaysia memberi tumpuan terhadap perusahaan mikro dan sederhana serta syarikat pemula (startups) menerusi program meningkatkan kemahiran adalah langkah bijak serta tepat.

Katanya, bimbingan diberi SME Corp Malaysia sejak 1996 yang turut merangkumi peluang perniagaan sewajarnya dicontohi.

“Kami ingin mempelajari kaedah ini dengan lebih mendalam serta membangunkan program bagi usahawan mikro, kecil dan sederhana di Filipina berdasarkan strategi diguna pakai Malaysia,” katanya.

Concepcion adalah jutawan tempatan yang menerajui rangkaian pengendali hospital terbesar di Filipina.

Beliau mempengerusikan ABAC tahun ini dan menjadi hos Sidang Kemuncak Kemakmuran Bagi Semua, esok.

Ia diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 yang bermula esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan.

Concepcion berkata, kepentingan untuk membangunkan program bagi golongan miskin secara terperinci perlu dijadikan tumpuan utama.

“Perdana Menteri (Najib) pernah berkata ‘tiada sesiapa pun wajar dipinggir daripada perancangan dan agenda nasional’.

“Saya teruja untuk bertemu beliau dan mendengar perkongsiannya dalam hal ini,” katanya. – WD MY