BANGI, SEPTEMBER 2:SEMAK DAN IMBANG….MCA menggesa calon Pakatan Harapan (PH) Balakong, Wong Siew Ki, menjelaskan kepada rakyat mengapa DAP tidak membantah projek kereta nasional ketiga oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Siew Ki juga digesa memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan melantik Petron sebagai salah satu pembekal minyak kenderaan kerajaan.

Calon MCA Balakong, Tan Chee Teong, mempersoal DAP, di mana semak dan imbang antara parti dalam PH seperti yang dimomokkan Siew Ki?

Beliau berkata, berikutan kegagalan DAP dan parti lain dalam PH untuk semak dan imbang antara satu sama lain, mereka harus memberi laluan kepada parti pembangkang untuk memainkan peranan itu.

“Sebelum ini, Siew Ki memandang rendah peranan pembangkang dengan mengatakan bahawa PH mampu melaksanakan semak dan imbang sendiri secara dalaman kerana semua parti sama taraf.

“Akan tetapi, kesemua enam menteri, enam timbalan menteri dan 42 ahli Dewan Rakyat DAP hanya membisu berhubung pelantikan syarikat minyak Petron yang ada kaitan dengan anak Perdana Menteri sebagai pembekal minyak kenderaan kerajaan.

“Pada masa sama, mereka turut mendiamkan diri mengenai projek kereta nasional ketiga. Ini secara langsung membolehkan kembalinya era Mahathirisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Chee Teong mengingatkan DAP ketika parti itu bergelar pembangkang dulu, mereka pernah membantah dasar perlindungan yang diberi kepada kereta buatan tempatan termasuk amalan kronisme di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Katanya, selepas menjadi kerajaan, nampaknya DAP menukarkan pendirian mereka selain tidak berani menyuarakan bantahan lagi.

“Jika Siew Ki dipilih sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), beliau hanya setitik air dalam lautan 50 ADUN kerajaan yang lain.

“Beliau tidak mampu membawa perubahan, sebaliknya jika pengundi memilih seorang pembangkang sebagai wakil rakyat, ia mampu memperkuatkan semak dan imbang dalam kerajaan, sekali gus memastikan kerajaan tidak lagi membuat kesilapan,” katanya.-MY WD