KUALA LUMPUR, APRIL 8:MANIFESTO…Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan semalam disifatkan bersifat sebagai satu pelan tindakan dan “roadmap” ke arah Malaysia yang baharu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata akujanji oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak itu lebih daripada sebuah manifesto yang lazimnya berupa kenyataan dasar bersifat am dengan memfokuskan perkara tertentu.

 Bagaimanapun, katanya, manifesto kali ini memandang jauh ke hadapan dan benar-benar menandakan era terbaik Najib yang bakal mendatang jauh meninggalkan era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mahathirism buat selama lamanya.

“BN tidak akan kembali ke era kelam Mahathir, tidak ada lagi era kegilaan jalan bertol di sana sini.

“Pemodenan prasarana dan pengangkutan secara yang belum pernah kita lihat sebelum ini, subsidi bersasar yang semakin komited pelaksanaan, pembangunan kaum ibu secara transformatif dan berlonjakan besar.

Agenda pembelaan generasi muda yang sangat bertepatan, hal ehwal dan kemajuan Sabah dan Sarawak yang pastinya menggembirakan mereka dan banyak lagi diperkenalkan Najib,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Malah menurut Annuar, komitmen menegak, mempertahan dan mengembangkan hal ehwal Islam begitu ketara dan spesifik sementara kepentingan agama lain juga terus diberi perhatian.

Menurutnya, inilah sebuah manifesto yang dahulukan rakyat yang terhasil daripada keyakinan jitu Najib setelah beliau dengan cemerlangnya menguruskan ekonomi dan pentadbiran negara.

“Di bawah kepimpinannya, rezab negara berkembang kepada lebih RM400 billion, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh menghampiri enam peratus, penarafan antarabangsa mencapai gred A, pelaburan asing juga meningkat.

“Daya kebersaingan negara berada di kelompok 20 terbaik dunia dan pada masa yang sama beliau mengekalkan soladiriti BN dengan baik, kestabilan politik yang sangat ketara serta hubungan diplomatik yang terbaik sejak merdeka,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, pengukuhan harga minyak berserta pengurusan cukai dan dasar fiskal negara yang baik memungkinkan negara beroleh hasil lebih lumayan, membuatkan kerajaan tidak teragak-agak untuk berkongsi dengan rakyat melalui pelbagai bantuan dan insentif.

“Pendek kata rakyat mula menikmati hasil dari kesetiaan dan kebijaksanaan mereka mendokong kerajaan.

“Lebih signifikan lagi kerajaan BN sudah bersedia melancarkan komitmen memperbaiki tatakelola kerajaan dengan memperkenalkan undang undang mengekang berita tidak benar, undang-undang mengawal dana politik, sistem Ombudsman, menggerakkan “select commitee parlimen serta mengamal pentadbiran yang lebih telus dan lebih terbuka,” katanya.

Tambah Annuar, ternyata BN telah menjadikan pembangkang serta manifesto mereka sama sekali tidak releven lagi dan hari esok bakal menjadi lebih baik lagi buat Malaysia bersama BN.-MY WD