JOHOR BAHRU 12 MAC – JANGKAAN….. Insiden pencemaran sungai hingga menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, dekat sini, ditutup tengah hari semalam, di luar jangkaan dan amat dikesali, kata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Khamis lalu kedua-dua sekolah itu diarahkan tutup berikutan pencemaran udara berikutan pembuangan sisa kimia ke Sungai Kim Kim, berhampiran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia dibuka semula pagi semalam selepas disahkan selamat, namun pada tengah hari kejadian sama berulang.

Kira-kira lima jam selepas sesi sekolah bermula ramai pelajar dan guru dari dua sekolah berkenaan mengadu mengalami gejala seperti muntah, loya dan sakit kepala sehingga menyebabkan 61 orang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sehingga jam 5.30 petang.

Osman berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) membuat keputusan untuk membuka semula kedua-dua sekolah berkenaan selepas membuat penilaian keselamatan dan mendapati keadaan udara di sekolah itu selamat daripada sebarang unsur pencemaran bahan kimia yang berlaku minggu lalu,

“Bagaimanapun kejadian pagi tadi (semalam) adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan amat dikesali,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kenyataan itu turut dimuatnaik dalam akaun Facebook rasminya.

Osman meminta JPBBD memastikan sekolah berhampiran sungai berkenaan ditutup sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat untuk pelajar dan guru meneruskan sesi pembelajaran.

“Ketika ini, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan keadaan persekitaran dan kualiti udara selamat daripada sebarang bentuk pencemaran bahan kimia serta mengenalpasti punca pencemaran agar kejadian ini tidak berulang.

“Saya juga dimaklumkan tiga suspek terdiri daripada dua pemilik syarikat dan seorang pekerja yang dipercayai membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim sudah ditahan oleh pihak berkuasa dan akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang bahan kimia ke sungai sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran sisa kimia yang menjejaskan alam sekitar dan penduduk setempat.- WD MY