PETALING JAYA, 25 Julai – Tambah….. McDonald’s Malaysia menyasarkan untuk menambah sekurang-kurangnya 200 lagi rangkaian restorannya di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Setakat Mac lepas, ia mempunyai kira-kira 250 cawangan di serata negara ini.

Pengarah Urusannya Azmir Jaafar berkata selain meningkatkan bilangan cawangan, pihaknya juga merancang untuk melakukan usaha penambahbaikan dan pengubahsuaian terhadap restoran sedia ada.

Menurutnya, ini sejajar pendirian McDonald’s Malaysia yang komited dalam menyajikan menu menarik kepada masyarakat serta menyediakan peluang pekerjaan menerusi pembukaan restoran baharu itu kelak.

“Perancangan jangka panjang ini dijangka menelan kos berbillion ringgit. Kita berasakan ia satu pelaburan yang berbaloi berdasarkan sambutan pelanggan yang sentiasa meningkat,” katanya pada majlis pelancaran menu baharu Burger Pedas Korea di cawangan McDonald’s Mutiara Damansara.

Burger Korea Pedas itu boleh didapati di rangkaian restoran McDonald’s seluruh negara bermula hari ini sehingga 23 Ogos 2017.

Mengulas menu baharu itu, Azmir berkata burger itu berinspirasikan minat mendalam masyarakat negara ini terhadap produk Korea, termasuk makanan.

“Burger ini akan memberi peluang untuk pelanggan kami menikmati sos pedas Korea, rasa (sayur jeruk) ‘kimchi’ pada daging lembu yang dibakar bersama sayuran segar dan roti ban panas.

“Kami mahu berkongsi resepi khas yang menampilkan cita rasa antarabangsa dari lokasi rangkaian restoran kami di seluruh dunia,” katanya.

Azmir berkata McDonald’s Malaysia juga optimis menu Burger Korea Pedas akan menerima sambutan memberangsangkan seperti pelancaran Burger Rio, Burger Syok dan Hawaiian Deluxe sebelum ini.

Burger Korea Pedas dijual pada harga RM12.99 bagi hidangan burger dan RM15.99 bagi sajian set. – WD MY