KUALA LUMPUR, 11 Okt – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihati penghuni
kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) di sini
yang sudah berkemampuan agar membeli kediaman lebih selesa bagi memberi peluang
kepada 60,000 bakal penghuni lain yang layak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan DBKL, Datuk Rizalman Mokhtar kebanyakan
penghuni perumahan berkenaan sudah berpendapatan tinggi sedangkan syarat kelayakan
menduduki adalah bagi individu berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan sahaja.

“DBKL turut mendapati terdapat penghuni hanya menjadikan kediaman tersebut
sebagai tempat penyimpanan barang dan ada juga bertindak menyewakannya kepada
pihak lain.

“Tindakan mereka ini umpama menafikan hak bakal penghuni lain yang lebih
memerlukan dan lebih layak mendiami kediaman tersebut berbanding penghuni kini
yang seakan-akan menyalahgunakan peluang yang telah diberikan,” katanya dalam
sidang media bersama pemilik rumah Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan
(Rumawip), hari ini.

Rizalman berkata berikutan itu, usaha DBKL membantu 60,000 bakal penghuni
PPR dan PPA yang layak dan masih dalam senarai menunggu untuk mendiami kediaman
berkenaan turut terbantut.

Oleh itu, katanya, DBKL kini sedang giat menjalankan bancian terhadap
setiap penghuni di 74,000 unit PPR dan PPA di seluruh Kuala Lumpur, yang turut
meliputi jumlah pendapatan sebenar dan terkini setiap isi rumah.

“Selepas proses bancian ini, DBKL akan merancang tindakan susulan atau
kaedah lain seperti menawarkan rumah mampu milik bagi mengosongkan unit rumah
itu untuk ditawarkan kepada individu lain yang lebih memerlukan,” katanya.

Berikut Merupakan Fakta Dan Data Status Rumawip, PPR Dan PPA di Wilayah Persekutuan.

Data asas status Rumawip dan PPAIM WP berasaskan kpd 80,000 (50,000 KL, Putrajaya 20,000 & Labuan 10,000)
sasaran keseluruhan sehingga sept 2015 adalah seperti berikut;

1. Kuala Lumpur- 20,300 unit (18,800 rumawip & 1,500 PPAIM)
2. Putrajaya- 6,700 (PPAIM)
3. Labuan – 2,200 (rumawip)

Jumlah status yang sudah bina, sedang bina dan lulus DO ialah (20,300+6,700+2,200= 29,100)
Jumlah dlm status perancangan iaitu dlm pertimbangan utk kelulusan DO ialah 28,000.
Jumlah dlm cadangan ialah 9,000.

Jumlah status keseluruhan di Wilayah Persekutuan yg sedang dipantau sehingga kini ialah dalam 66,100 unit.
Jumlah pemohon dalam portal rumawip KWP hampir 14,000 pemohon

Peratusan kini bagi kategori semua diatas ialah 82.6% berbanding sasaran 80,000 semuanya

Rizalman turut menyeru warga kota yang mempunyai pendapatan sederhana dari RM3,000 hingga RM8,000
agar merebut peluang membeli rumah mampu milik di bawah projek Rumawip yang menawarkan harga lebih
rendah daripada nilai harga pasaran semasa.

“Bagi sesiapa yang berkemampuan tetapi belum lagi memiliki rumah dan
benar-benar ingin memiliki rumah, segeralah membuat permohonan kerana tawaran
adalah terhad,” katanya. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY