KUALA LUMPUR,OGOS 9:NEGARA….Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengingatkan negara bakal kehilangan sumber ekonomi sekiranya kerajaan hari ini bertegas memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menerusi kenyataannya di Facebook, beliau menyenaraikan empat implikasi buruk kepada ekonomi negara sekiranya kerajaan meneruskan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada 1 September depan.

“Malaysia kini kehilangan semua kelebihan ekonomi, sifat kompetitif dan pemangkin ekonomi yang dibolehkan oleh GST.

“Masalah dan struktur ekonomi yang lemah dulu seperti cukai korporat yang tinggi, pengelakkan cukai dan aliran luar wang haram akan kembali.

“Kita juga akan kehilangan kemampuan ekonomi untuk menahan kemelesetan ekonomi atau kejatuhan mendadak harga komoditi yang dieksport kerana kita tidak lagi mempunyai GST sebagai penampan kepada situasi itu.

“Kerajaan juga akan kehilangan kemampuan untuk membantu rakyat yang memerlukan seperti sebelum ini.

“Lebih-lebih lagi, ketika harga barang dilihat tiada pengurangan selepas GST disifarkan, maka rakyat akan terbeban dengan harga barangan yang lebih tinggi apabila SST dilaksanakan,” katanya.

Menurut Najib, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu membuat keputusan yang sukar untuk memperkenalkan sistem GST tetapi turut diperakui oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa ia adalah satu sistem percukaian yang lebih cekap.

“Tetapi adalah lebih mengecewakan apabila negara bakal menjadi kurang kompetitif dan terjamin kerana kerajaan PH melakukan perkara bertentangan dengan nasihat pakar ekonomi dengan memansuhkan GST sebagai strategi utama untuk menjatuhkan kerajaan BN.

“Harga barang stabil di bawah GST kerana ia sudah dilaksanakan selama tiga tahun, sebab itu, GST sifar tidak menurunkan harga barangan. Sekarang, harga barang pasti meningkat selepas pelaksanaan SST,” katanya.-MY WS