KUALA SELANGOR, 24 Dis – Empat nelayan terkejut apabila menemui ikan marlin biru seberat lebih 100 kilogram (kg) tersangkut pada jaring mereka ketika turun ke laut, tengah hari tadi.

Menurut Yasir Mohammed, 52, berkata dia bersama rakannya turun ke laut seperti biasa pada jam 12 tengah hari untuk mencari rezeki di perairan tengah Sekinchan.

“Biasanya nelayan turun di perairan ini untuk menangkap ikan senangin kerana kawasan ini memang popular dengan spesis ikan ini.

“Selepas menurunkan jaring kira-kira jam 1 tengah hari, kami berehat sementara menunggu hasil tangkapan.

“Dua jam selepas itu, kami menaikkan jaring untuk melihat hasil tangkapan. Ketika itu, jaring terasa berat dan saya memanggil semua rakan lain untuk membantu menariknya. “Kami terkejut melihat saiz ikan yang tersangkut di jaring.

Perasaan gugup ada kerana selama 20 tahun menjadi nelayan, ini adalah kali pertama kami menangkap ikan sebesar ini,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Yasir berkata, mereka bercadang menjual ikan itu kepada sesiapa yang berminat mengikut harga sesuai.

“Ikan yang sebesar ini menjadi tarikan kepada pengunjung yang membeli ikan di Jeti Nelayan Sungai Yu, yang juga tempat saya dan isteri menjual ikan,” katanya. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY