PETALING JAYA, SEPTEMBER 4: 100 HARI….Pas menyifatkan mereka kini merasai nikmat tidak bersama dengan Pakatan Harapan (PH) meskipun gagal menakluk Putrajaya bersama mereka sebagaimana yang diimpikan ketika berada dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ia ekoran prestasi teruk janji 100 hari pemerintahan PH yang akan menyebabkan Pas merasa bersalah dengan rakyat yang mengharapkan kerajaan lebih baik daripada BN.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, situasi negara yang berlaku pada hari ini juga memberi gambaran selepas 100 hari yang lebih teruk akan dihadapi oleh rakyat.

“Pas gagal bertahan bersama PR, tetapi jika Pas hari ini bersama PH apa kita nak jawab dengan persembahan selama 100 hari, mampukah Pas nak tegur orang tua yang umur 93 tahun.

“Maknanya, untuk meruntuhkan Umno kita mengambil seorang tua yang pernah jadi Perdana Menteri, di mana rekodnya diketahui oleh seluruh makhluk ALLAH SWT di bumi Malaysia ini.

“Kita beri keyakinan kepada dia sekali lagi dan hari ini kita nampak apa yang berlaku,” katanya dalam Ceramah Mega PRK N32 Seri Setia di padang futsal, TTDI Jaya, di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Bachok itu juga berkata, dengan prestasi kerajaan hari ini membuatkan kegembiraan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara baru-baru ini terjejas.

“Dalam tempoh 100 hari lebih ini bila ditanya adakah rakyat Malaysia hari ini menyambut kemerdekaan Malaysia Baharu sama gembira dengan tok kita menyambut kemerdekaan pada tahun 195? Jawapannya tidak. Jadi kita berdepan dengan kerajaan yang ada masalah akhlak.

“Jika mahu bina negara kena dengan akhlak, apabila akhlak tiada, tiada tamadun. Walaupun Umno buruk di mata rakyat Malaysia, tetapi jangan kita ganti dengan seorang yang menjanjikan sesuatu yang akhlaknya kosong. Bila bercakap dia bohong.

“Dia kata BR1M akan dipertahankan tapi senang-senang dia mansuhkan. Janji dengan perkara tidak pasti kata nak ganti tapi mana dia? kalau nak mansuh, bawa dulu yang baru. Bila dia janji, dia bohong janji. Mereka tidak malu untuk katanya tidak wajib untuk laksanakan manifesto. Tiada akhlak. Apabila diberi amanah, dia khianat pada amanah itu,” katanya.