TANJONG KARANG, 1 SEPT – CABAR…. Ahli Majlis Tertinggi Umno Noh Omar mencabar Dr Mahathir Mohamad membubarkan parlimen sekiranya perdana menteri itu yakin PH akan menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Kalau beliau (Mahathir) yakin PH boleh menang, bubarkan sajalah Parlimen (biar rakyat menentukan). Hendak tunggu apa lagi?” katanya seperti dipetik AKHBAR TEMPATAN.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang berkata pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu dan kini merupakan wakil rakyat bebas boleh menyertai Bersatu, Noh berkata pengerusi PH itu berhak menyuarakan pandangan.

Bagaimanapun, kata Noh yang juga ahli parlimen Tanjong Karang, parti Bersatu yang diterajui Dr Mahathir juga dalam keadaan kelam-kabut.

“Kita tidak nafikan bukan sahaja dalam UMNO, malah ada juga ahli Bersatu yang dulunya UMNO sudah kecewa dan hendak patah balik masuk UMNO semula.

“Janganlah tengok bekas ahli UMNO sahaja, Bersatu pun semakin kelam-kabut. Kalau hendak tahu PH ini kuat tak kuat, bubarkan sahaja Parlimen segera,” katanya. – WD MY