KUALA SELANGOR, OGOS 2:OKU….Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) cedera parah dipercayai diserang sekumpulan samseng jalanan di sebuah kedai makan di Taman Permai.

Serangan itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati sekumpulan lelaki yang ditegur rakan mangsa sebelum itu kerana merempit di depan kedai makan itu.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun yang cacat badan sebelah kanan akibat kemalangan jalan raya ditetak hingga urat pergelangan tangan kirinya putus.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakannya berada di kedai berkenaan, kira-kira jam 2 pagi.

“Seorang rakan mangsa kemudian menegur sekumpulan lelaki yang berlumba motosikal di depan gerai itu sehingga kumpulan berkenaan bersurai.

“Namun, kira-kira jam 5 pagi, empat lelaki, dua masing-masing menaiki motosikal Yamaha LC135 dan Yamaha Lagenda tiba di lokasi itu sebelum dua pemboncengnya yang menutup muka dengan baju menyerang mangsa.

“Seorang suspek bersenjatakan parang menetak mangsa, manakala lima rakan mangsa yang lain sempat melarikan diri,” katanya ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Md Asri berkata beberapa suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan.-MY WD