KUALA LUMPUR, MAC 7 – TN50..Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa Transformasi Nasional 2050 (TN50) diwujudkan sebagai ‘masa tambahan’ bagi Wawasan 2020.

Khairy memberitahu TN50 merupakan perbentangan jangka panjang bagi mengisi kelompongan Wawasan 2020, dengan sasaran yang lebih objektif.

Beliau memberitahu, Wawasan 2020 mempunyai sembilan aspirasi, dan hanya satu sasaran iaitu menjadikan Malaysia, sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi yang mempunyai sasaran jelas.

“Saya yakin menjelang dua tahun lagi mengikut tafsiran Bank Dunia, Malaysia akan jadi negara maju, negara berpendapatan tinggi di bawah pengurusan kerajaan Barisan Nasional.

“Cuma dari segi cabaran lain, ia adalah work in progress (sedang diusahakan), sebagai contoh Malaysia akan jadi negara yang bersatu padu, bagaimana nak letakkan sasaran untuk lihat kita adalah negara yang benar-benar bersatu, ini adalah work in progress,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (AMANAH-Parit Buntar) mengenai kesinambungan Dasar Ekonomi Baharu, Wawasan 2020 dan TN50.

Khairy memberitahu TN50 merupakan satu tindakan proaktif dimana akan mencorakkan masa depan negara yang lebih cemerlang.

Katanya, TN50 merupakan cerminan bagi suara rakyat dimana ianya melibatkan keseluruhan rakayat dan bukan daripada satu-satu parti.

“Dari segi penglibatan, saya secara terbuka menyatakan bahawa siri dialog TN50 dihadiri oleh semua. Tidak ada apa-apa sekatan kepada mana-mana pihak.

“Malah saya telah terima banyak memorandum, idea dan aspirasi daripada semua lapisan masyarakat termasuk belia mahupun ahli politik,” katanya.– MY WD