BALI, 23 Mac – Malaysia telah mencapai kesepakatan dengan
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk
menubuhkan pasukan petugas bersama bagi mengatasi masalah pengeluaran kad palsu
UNHCR oleh sindiket.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara
tindakan segera yang diambil oleh pasukan petugas bersama itu ialah meminta
semua pemegang kad UNHCR terlibat membuat pendaftaran semula.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan
Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Volker Turk, di sini semalam.

“Kami bersetuju menambah langkah-langkah keselamatan kepada kad UNHCR sedia
ada dan pendaftaran perlu dilakukan semula untuk pemegang-pemegang kad UNHCR
yang tulen,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis perasmian
persidangan Bali Process yang berlangsung hari ini.

Pihak berkuasa Malaysia telah mendapati terdapat sindiket pengeluaran kad
palsu UNHCR dan ia adalah antara faktor kebanjiran warga asing termasuk pelarian
yang tidak diiktiraf ke Malaysia.

Sindiket pengeluaran kad UNCHR palsu itu dikesan sejak beberapa tahun lepas
apabila pihak berkuasa Malaysia pernah menahan rakyat negara asing yang
memegang kad UNCHR tetapi apabila disiasat, kad itu didapati palsu dan mereka
yang terbabit mengakui memasuki Malaysia secara haram.

Ahmad Zahid berkata selain itu, Malaysia dan UNCHR juga bersetuju untuk
bekerjasama berhubung ketibaan migran Syria seperti diumumkan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Persidangan Ke-70 Pertubuhan Bangsa Bersatu di
New York pada Oktober tahun lepas.

“Saya turut akan mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat
Tinggi (HLC) mengenai migran Syria ini dalam masa terdekat,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY