KUALA LUMPUR,MEI 26:PECAT… Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan usaha memecatnya sebagai ahli UMNO disifatkan tidak wajar.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sudah membuat pertimbangan sewajarnya dalam melantik Menteri Besar.

“Saya pasti penerimaan Raja Perlis di dalam majlis mengangkat sumpah Menteri Besar semalam, semestinya sudah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di Perlis. Keputusan ini harus kita hormati.

“Manakala, apa-apa keputusan untuk memecat ahli parti perlu dibawa kepada Lembaga Displin dan merupakan kuasa Majlis Tertinggi UMNO dan bukannya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, dalam keadaan UMNO yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan parti.

“Seharusnya perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap pemimpin UMNO harus berjiwa besar dan menampilkan kepemimpinan yang terbaik untuk memenangi dan meyakinkan hati rakyat,” katanya.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya, Datuk Ismail, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, Timbalannya, Azlan yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan cadangan itu.

Susulan daripada itu, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar di Istana Arau semalam sehingga mendatangkan kemurkaan Raja Perlis.-MY WD