SEPANG, 20 Okt – Selamat Pulang…… 14 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Darfur-Sudan (UNAMID)¬†selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 9 pagi hari ini.

Pasukan berkenaan yang berada di Sudan selama 18 bulan diketuai Asisten Superintendan Chiew Swoi Kee, tiba di tanah air menerusi penerbangan Qatar Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Doha.

Ketibaan pasukan pengaman itu disambut oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) PDRM, Senior Asisten Komisioner Azisman Alias; Ketua Pegawai Turus Istiadat PDRM, Superintendan Mohd Shukhairy Abd Sabhe; Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang (KLIA 1), Superintendan Saharudin Abdullah serta ahli keluarga mereka.

Azisman berkata, sehingga kini PDRM menghantar seramai 4,106 pegawai dan anggota ke 13 negara yang bermasalah di bawah Misi Pengaman PBB termasuk Timor Leste, Republik Selatan Sudan, Somalia dan Bosnia Herzergovina.

“Bagaimanapun, angka ini akan meningkat dari semasa ke semasa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada negara yang bermasalah.

“Saya juga berharap mereka menggunakan pengalaman sepanjang berada di sana untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keamanan yang dikecapi di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Kepulangan Pegawai dan Anggota PDRM di sini, hari ini. – WD MY