KUALA LANGAT, MEI 5:PEMBANGKANG…Sebelum hari pengundian pembangkang diramal akan mencetuskan fitnah untuk menimbulkan rasa kebencian terhadap kerajaan, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ini terjadi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas setelah pelbagai fitnah yang dilakukan oleh pihak pembangkang.

Berikutan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dengan strategi pembangkang dalam usaha meraih kemenangan.

“Pada PRU-13, mereka sebarkan berita 40,000 pengundi Bangladesh, tetapi kali ini, fitnah itu tidak akan dibangkitkan, sebaliknya mereka akan buat (dakwaan yang lain).

“Yang pasti akan ada sesuatu yang disimpan pembangkang, cerita fitnah untuk hasut rakyat. Mungkin (fitnah) apa yang terjadi pada pemimpin mereka yang direka untuk bangkitkan kemarahan rakyat.

“Jadi, rakyat kena semak cerita yang keluar dalam empat hari berbaki ini,” katanya selepas Majlis Meraikan Ibu Tunggal dan Anak Yatim Sijangkang, di sini, hari ini.-MY WD