KUANTAN, 21 Feb – RASUAH….. Seorang pemilik bas merasuah RM500 kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Ahad lalu, mengundang padah apabila dihukum penjara satu hari dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh, R Muthusamy, 66, dari Sungai Marong, Bentong sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Dia dituduh memberi suapan kepada Ketua Pembantu Penguatkuasa JPJ, Shahrul Shahrizal Mt Jawahir sebagai dorongan untuk melepaskan bas miliknya bernombor pendaftaran PATRIOT 9772 yang dipandu oleh pekerjanya yang tidak mempunyai lesen memandu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Stesen Penguatkuasaan JPJ, Karak, Bentong pada jam 2.45 petang 18 Februari lalu.

Muthusamy didakwa mengikut Seksyen 17(6) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya atas alasan dia tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan empat anaknya.

Mohamad Fadhly kemudiannya meminta hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh pada hari kejadian tetap berdegil memberi suapan itu walaupun sudah diberi amaran oleh pegawai JPJ berkenaan.

Dazuki menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM11,000 serta turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan. – WD MY