JOHOR BAHARU, 17 April – Seorang pegawai bank maut manakala
seorang rakan sekerjanya cedera akibat ditikam seorang pengawal keselamatan yang
tiba-tiba mengamuk di sebuah bank di Taman Molek, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Abdul Samad Salleh berkata kejadian
berlaku kira-kira 3.30 petang ketika pelanggan sedang menunggu giliran untuk
berurusan di bank itu.

Menurutnya, suspek berusia dalam lingkungan 40-an menggunakan pisau
untuk menikam pegawai lelaki itu di bahagian leher dan muka sebelum menyerang
seorang pegawai wanita.

“Bagaimanapun, wanita itu hanya cedera dan dihantar ke Hospital Sultan
Ismail untuk rawatan,” kata Abdul Samad kepada pemberita ketika ditemui di
tempat kejadian.

Katanya suspek yang merupakan warga tempatan sempat ditahan di tempat
kejadian susulan tindakan pantas orang awam memaklumkan kejadian itu kepada
pihak polis.

“Polis anggap kes ini selesai kerana sudah berjaya menahan suspek dan
senjata yang digunakan juga telah dirampas.

“Soal berapa lama dia (suspek) berkhidmat (sebagai pengawal keselamatan) dan
apakah motif dia berbuat demikian, semua itu sedang disiasat dan (rakaman)
kamera litar tertutup (CCTV) yang ada dalam bank akan diambil untuk membantu
siasatan,” katanya dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 53,
semasa kejadian, dia sedang menunggu giliran untuk berurusan dengan pegawai
di kaunter bank berkenaan.

“Semasa saya datang, dia (suspek) sempat beri saya nombor giliran dan
kemudian dia berlalu.

“Selepas itu, selang 10 minit saya terdengar bunyi bising di bahagian
belakang sebelum pengawal itu datang ke arah kami mundar-mandir sambil memegang
pisau. Semua pelanggan yang ada terkejut ketika itu dan terus lari keluar
menyelamatkan diri,” katanya.

Wong berkata beliau selalu berurusan di bank itu dan tidak pernah melihat
suspek sebelum ini.

“Mungkin dia (suspek) masih baru di sini dan dia juga tidak dibekalkan
dengan apa-apa senjata api berbanding dengan seorang lagi pengawal keselamatan,”
katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY