SUBANG JAYA, 4 Julai – CETUS..Tindakan dua lelaki yang mewakili syarikat pinjaman wang menceroboh masuk sebuah sekolah, mengundang padah apabila mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari, berkata kejadian pada Isnin lalu itu menimbulkan kekecohan di sekolah berkenaan akibat dua lelaki berlegar di bilik guru berkenaan.

“Lelaki terbabit dipercayai wakil dari syarikat kredit ingin menemui seorang guru di sekolah berkenaan namun gagal.

“Mereka kemudian masuk ke sekolah berkenaan dan cuba mencari guru berkenaan tanpa berlaku kekecohan,” katanya.

Muhammad Azlin berkata, bagaimanapun kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki ini adalah wakil syarikat kredit berlesen yang datang ke sekolah berkenaan untuk menemui seorang guru berhubung hutang yang dibuat.

“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan. Suspek dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya. – WD MY