PENULISAN DR. ILYANI HANYA SEKADAR PANDANGAN

PENULISAN DR. ILYANI HANYA SEKADAR PANDANGAN

978
0

KOTA BHARU, OGOS 15: Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menyifatkan kandungan surat ditulis Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai pandangan peribadi pegawai perubatan itu semata-mata.

Menurut Dzulkefly, pihak kementerian belum berbincang sama ada Dr. Nur Ilyani perlu dikenakan tindakan tatatertib atau tidak dan beliau masih boleh bertugas seperti biasa.

“Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah) sudah buat kenyataan sebelum ini dan saya enggan tambah apa-apa. Kita berpegang kepada prinsip tidak mendiskriminasi golongan LGBT.

“Saya belum dapat komen apa-apa (tindakan tatatertib ke atas Dr. Nur Ilyani) kerana kita belum bincang isu itu lagi, tetapi bagi saya itu pandangan peribadi dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Baru-baru ini, satu surat terbuka tulisan Dr. Nur Ilyani kepada anak Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Mahathir berhubung isu LGBT yang disiarkan di akaun Facebook miliknya tular dalam media sosial.

Berikutan itu, ada pihak me­laporkan perkara tersebut kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) selain menggesa agar doktor wanita yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu dikenakan tindakan tatatertib oleh majikannya iaitu Kementerian Kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly memberitahu, beliau kini dalam rangka lawatan ke hospital-hospital lama di seluruh negara yang mempunyai kelengkapan serta infrastruktur usang.-MY WD