KUALA LUMPUR, JUN 5: LARANGAN…Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan perintah larangan sementara bagi menghalang media daripada menerbitkan perbincangan umum berhubung merit pertuduhan-pertuduhan pecah amanah dan salah guna jawatan berkaitan SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Datu Mohd. Sofian Abd. Razak bagaimanapun menetapkan 8 Ogos ini untuk mendengar permohonan rasmi berkaitan isu tersebut.

Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mengemukakan permohonan lisan untuk mendapatkan perintah larangan itu dengan berkata, penerbitan perbincangan umum mengenai merit kes tersebut dalam media (sama ada media tradisional atau digital) tidak sepatutnya berlaku sebelum perbicaraan kes itu bermula.

Hal ini kerana, katanya, anak guamnya itu mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan dia tidak sepatutnya dibicarakan oleh media.-MY WD