IPOH,JUN 28:UMNO… UMNO perlu lebih demokratik, terbuka dan bersedia mendengar pandangan serta luahan akar umbi jika mahu ia terus diterima oleh orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata apa yang berlaku ketika ini menjadikan UMNO perlu lebih terbuka dalam mencorakkan perjalanannya.

“Saya telah mencadangkan supaya keadaan yang kita lalui perlu dibaiki walaupun UMNO tujuan perjuangannya tidak perlu disentuh kerana UMNO itu sudah sempurna dan tidak ada apa salahnya pada UMNO.

“Kredibiliti dan integriti UMNO kini dipersoalkan oleh sesetengah pengundi, jadi kita perlu baiki.

“Dalam parti sendiri mereka mendesak supaya kita lebih demokratik, ..dia orang (mereka) tak mahu mendengar dari ‘top to bottom’ (atas ke bawah) lagi sebaliknya mahu dari ‘bottom to up’ (bawah ke atas).

“Ini kerana setiap pandangan dari akar umbi dan pandangan yang disuarakan akar umbi dan rakyat diteliti oleh pimpinan setiap peringkat supaya ia boleh jadi asas penggubalan dasar dan sebagainya bagi perjuangan parti,” katanya selepas mengadakan pertemuan pada Sesi Ramah Mesra Tengku Razaleigh Hamzah bersama UMNO Perak di sini, malam semalam.

Tengku Razaleigh berkata, daripada siri perjumpaannya bersama ahli UMNO di seluruh negara, beliau turut mendapati ahli akar umbi UMNO juga mahu UMNO lebih terbuka, telus dan maju kepada tadbir urus yang lebih bertanggungjawab.

“Kita sememangnya terbuka dan telus tetapi nampaknya mereka (akar umbi) hendak memastikan ini (ketelusan) menjadi amalan kita pada masa akan datang dan orang muda yang berkehendakkan demikian saya rasa bagus,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan dua Ahli Parlimen UMNO dari Perak yang keluar UMNO dan menjadi Ahli Parlimen Bebas berikutan masalah dalaman UMNO, Tengku Razaleigh berkata, perkara itu tak sepatutnya berlaku.

“Kita tak mahu perkara itu berlaku, kita tidak mahu dan kalau boleh kita mahu semua 54 Ahli Parlimen UMNO yang ada terus kekal” katanya.

Katanya, apa pun sangat menyedihkan kerana UMNO sudah memilih mereka untuk memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan mereka tetapi mengkhianati mandat yang diberikan dan beliau akan cuba berbincang dengan dua wakil rakyat berkenaan.

Sebelum ini dua Ahli Parlimen UMNO, iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Nor Azmi Ghazali dan hari ini Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussein Hafiz Syed Abdul juga mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan keluar parti serta menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Mengulas mengenai rampasan barangan kemas dan pelbagai barangan di rumah dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggarkan mencecah RM1.1 bilion, Tengku Razaleigh berkata, perkara itu tidak menjejaskan UMNO.

“Saya tidak fikir ia (isu itu) akan menjejaskan kita, ia tidak akan menjejaskan parti kerana kita juga mendengarnya melalui media,” katanya.-MY WD