KUANTAN, APRIL 24: Dua pemimpin pergerakan Pemuda parti masing-masing bakal berentap merebut kerusi Parlimen Paya Besar selepas dinamakan sebagai calon parti masing-masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah, 38, yang mewakili Barisan Nasional (BN) dicabar oleh Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berusia 32 tahun yang bertanding atas tiket PKR.

Selain itu, turut bertanding untuk kerusi Parlimen Paya Besar adalah Setiausaha PAS Paya Besar, Mohamad Azhar Mohd Noor, 66, yang akan mewakili PAS.

Mohd Shahar yang memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi berkata, walaupun dianggap sebagai calon muda, tidak bererti beliau akan membawa suara orang muda sahaja.

“Di Paya Besar kita ada pengundi yang datang daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat, yang penting adalah kemampuan untuk membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi. Kita juga tidak memandang mudah dua lagi calon tetapi yang lebih penting adalah tawaran yang akan diberikan BN.

“Saya yakin pengundi berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh penyandang terdahulu iaitu, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon bagi Parlimen Paya Besar dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya di Dewan SUKPA, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, beliau akan mengumumkan manifesto sendiri untuk Parlimen Paya Besar dalam menarik pengundi memilihnya sebagai wakil rakyat.

“Kita mahu fokus kepada warga emas hingga golongan muda. Kita tahu 60 peratus pengundi di Paya Besar berumur di bawah 40 tahun, jadi saya mahu memperkasakan golongan ini tanpa mengetepikan golongan lain,” katanya.

Selain itu, bagi kerusi DUN Sungai Lembing, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, 61, daripada BN bakal dicabar calon PAS, Mohamad Hazmi Dibok, 41, dan calon PKR, Datuk Fauzi Abdul Rahman, 72.

Bagi DUN Lepar pula akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Abdul Rahmad Muda, 53, akan bertemu Mohd Nor Hisyam Muhammad (PAS) dan Nur Addin Ibrahim (PKR) yang masing-masing berusia 33 tahun.

Selain itu, DUN Panching pula menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu antara penyandang dari BN, Datuk Mohd Zaili Besar, 52, dengan calon PAS, MohdTarmizi Yahaya, 43, Kamarzaman Mohamed Yunus (PKR), 62, dan Ben Zin Dagok (Bebas), 57.