KUALA LUMPUR,JUN 5:EKONOMI… Eksport negara pada Mei mencatat pertumbuhan lebih rendah berbanding bulan sebelumnya, berikutan penurunan permintaan minyak sawit.

Eksport Malaysia pada Mei hanya berkembang pada kadar 3.4 peratus dari tahun sebelumnya dan penurunan pertumbuhan yang ketara berbanding 14 peratus pada April.

Jangkaan umum yang dikumpul Reuters sebelum ini adalah anggaran kenaikan 6.4 peratus bagi Mei.

Eksport pertanian merosot 21.9 peratus tahun ke tahun pada Mei, disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, eksport barangan perlombongan pada Mei naik 40 peratus dari tahun sebelumnya dengan permintaan yang lebih tinggi untuk gas asli cair dan minyak mentah.

Penghantaran barangan pembuatan, yang mencakupi 83 peratus daripada eksport negara, meningkat 3.2 peratus.

Import pada Mei pula naik 0.1 peratus, berbanding kenaikan sebanyak 9.1 peratus pada April, dengan penurunan dalam ketiga-tiga kategori utama import iaitu barangan perantaraan, modal dan penggunaan.

Ramalan penganalisis sebelum ini hanya menjangkakan ia akan turun sebanyak 2.6 peratus.

Import barangan perantaraan, yang mencakupi 54 peratus daripada jumlah import turun 5.3 peratus dari tahun sebelumnya pada Mei.

Import barangan modal dan kepenggunaan juga merosot masing-masing sebanyak 0.7 peratus dan 10.2 peratus.

Lebihan perdagangan pada Mei turun kepada RM8.1 bilion (AS$2 bilion) daripada RM13.1 bilion pada bulan sebelumnya. -MY WD