KUALA LUMPUR, OGOS 19:KAKISTOCRACY… Menjelang 100 hari pentadbiran kerajaan baru Pakatan Harapan (PH), ternyata janji-janji yang mereka laungkan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu khususnya 10 janji dalam tempoh tersebut gagal ditunaikan sebaliknya pelbagai isu lain yang timbul. Hal ini mengundang Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menekankan bahawa ‘Terbukti PH Kerajaan ‘Kakistocracy’ sebagaimana kenyataannya berikut:

1. KAKISTOCRACY ditafsirkan sebagai sebuah kerajaan yang dikuasai oleh orang-orang yang ‘bobrok’ dan ‘irresponsible’ (tidak bertanggungjawab).

2. Jumaat ini, 17 Ogos 2018, genaplah 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia.

3. Rakyat bolehlah menilai kebertanggungjawaban kerajaan PH di dalam menunaikan janji-janji yang termaktub dalam manifestonya, terutama 10 janji yang mereka tawar sendiri kononnya akan dilaksana dalam masa 100 hari memerintah.

4. Selama 100 hari, ia penuh diselubungi kebobrokan, kakistocrasy tahap tertinggi, di mana kononnya manifesto bukan kitab suci. Ini menghina pengundi dan rakyat.

5. Hal sedemikian membuktikan bahawa sejak dari awal lagi, mereka tiada hasrat menunaikan janji manifesto PH, malah ia satu penipuan pengundi secara terancang.

6. Sejak mengambil alih daripada kerajaan Barisan Nasional (BN), PH secara bertali arus menyerang pentadbiran BN dan bukannya berusaha menunaikan janji. Ini telah ditegur oleh Naib Presiden PKR sendiri, Rafizi Ramli.

7. PH tidak jemu-jemu memainkan sentimen bahawa punca utama PH tidak dapat menunaikan janji kerana faktor salah tadbir kerajaan terdahulu.Rakyat sudah mual dengan alasan dan sendiwara sebegini.

8. Berjanji memang mudah kerana lidah tidak bertulang tapi menunaikan janji bukan semudah melafazkannya dan perbuatan memungkiri janji amat dilarang oleh Allah SWT.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah ash-Shaff: 2 & 3).

9. PH perlu menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan tanpa banyak bohong yang mana prioritinya mensejahterakan rakyat demi agama, bangsa dan tanah air tanpa terikut-ikut rentak DAP yang kuat memanipulasi keadaan dengan ideologinya.-MY WD