PUTRAJAYA, 6 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini mengadakan mesyuarat pra majlis dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum Mesyuarat Pertama Parlimen bagi Penggal Keempat yang akan bermula Isnin ini.

Mesyuarat itu berlangsung selama kira-kira satu jam setengah bermula jam 8.30 malam tadi di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek, ketika ditemui selepas mesyuarat itu, berkata ia bagi membincangkan mengenai aturan soalan yang akan dikemukakan dan dijawab pada sesi Parlimen kali ini.

“Ini adalah mesyuarat yang biasa diadakan sebelum sidang Parlimen. Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berjumpa semua Ahli Parlimen BN untuk membincangkan persediaan sebelum sidang bermula.

“Perdana Menteri menekankan Ahli Parlimen dan Menteri perlu hadir untuk menjawab soalan pada sesi penggulungan,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri turut meminta semua Ahli Parlimen BN untuk membuat kerja dengan tekun dan ikhlas serta menjaga kawasan masing-masing.

Katanya, hampir semua Ahli Parlimen BN hadir pada mesyuarat itu.

Ditanya sama ada mesyuarat itu ada membincangkan mengenai tindakan pemimpin UMNO yang menandatangani deklarasi menentang Perdana Menteri semalam, Hasan berkata ia hanya membincangkan mengenai persediaan sidang Parlimen. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY