KUALA LUMPUR, 1 Okt – PELABURAN……. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kecekapan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menguruskan kemasukan pelaburan asing membantu melonjakkan ekonomi negara ke fasa baharu.

Najib berkata, peranan dimainkan MIDA sejak tahun 1970-an sehingga kini mendapat keyakinan pelabur sehingga membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahap mengagumkan setiap tahun.

Beliau berkata, ketika ini ada lebih 5,000 syarikat multinasional asing dari 40 negara memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini.

“MIDA memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sejak 1980 hingga Jun lalu, MIDA meluluskan 29,209 projek pembuatan bernilai RM1.08 trilion.

“Ia termasuk mewujudkan lebih tiga juta peluang pekerjaan baharu yang dapat meningkatkan taraf hidup yang tinggi dan kemahiran kepada rakyat,” katanya pada majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas MIDA malam tadi

Najib berkata, keputusan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini disebabkan mereka tahu suara sumbang dilontarkan segelintir ahli politik bagi menjatuhkan ekonomi Malaysia adalah palsu.

“Mereka tahu ahli politik berkenaan hanya mengeluarkan kenyataan mengarut kononnya negara ini akan bankrap adalah demi kepentingan politik peribadi,” katanya.

Najib berkata, inisiatif beliau menjalin hubungan baik dengan pemimpin utama dunia termasuk Presiden Donald Trump baru-baru ini juga mendorong pelabur asing terus yakin dengan Malaysia.

Kebanyakan pelabur terbabit turut menempatkan syarikat mereka di Malaysia untuk membolehkan mereka memperluaskan pasaran di peringkat serantau dan global.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi MIDA, Tan Sri Amirsham A Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud. – WD MY