KUALA LUMPUR, 30 Jan – TUNGGU……… Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau masih menunggu ‘ilham’ untuk mendapatkan tarikh yang paling sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya menantikan satu bentuk petunjuk, seperti apa yang orang Melayu katakan sebagai ilham untuk memikirkan masa yang paling sesuai buat kita.

”…menurut Perlembagaan (pilihan raya perlu diadakan) sebelum Jun. Sekiranya kita tidak mengadakannya pada Jun, Parlimen akan dibubarkan secara automatik.

“Tengoklah (sama ada) kita tunggu sehingga Jun atau kita adakan lebih awal… kita tengok perkembangannya nanti,” kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil,Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin. – WD MY