KUALA LUMPUR, JULAI 29:POLITIK…UMNO menganggap kesanggupan dan keterbukaan PAS membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sebagai bukti solidariti kedua-dua parti Melayu terbesar negara itu.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata kedua-dua parti seiring dalam menyuarakan kebimbangan hak Bumiputera, agama Islam dan kuasa Raja-Raja Melayu daripada terus diganggu-gugat.

Beliau berkata, pendirian Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, supaya Pakatan Harapan (PH) tewas pada PRK Sungai Kandis akan menjadi isyarat keresahan resah dengan apa yang berlaku.

“Rakyat pelbagai peringkat khususnya beragama Islam semakin bimbang dengan tindak-tanduk pihak tertentu yang dilihat semakin hari semakin berani menyerang agama dan umat Islam.

“Justeru, kemenangan calon BN amat penting bukan saja untuk penduduk Sungai Kandis, malah rakyat Selangor dalam memastikan kerajaan tidak terlalu berkuasa merangka dasar, termasuk yang membebankan rakyat.

“Suara wakil rakyat daripada BN boleh menjadi elemen semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai kerjasama PAS-BN, Noraini yakin kedua-dua parti menjadikan perpaduan ummah atau persaudaraan Islam terlebih dulu sebagai asas perpaduan nasional antara kaum dan etnik di Malaysia.

Beliau berkata, politik matang PAS dan BN dapat mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan antara mereka, terutama membabitkan soal orang Melayu dan Islam.

“Kemudian, barulah diperkukuhkan perpaduan kaum sekali gus bermakna wasatiyyah (kesederhanaan) mengambil kira perpaduan orang Melayu-Islam yang membabitkan tolak ansur dan tasamuh antara dua parti Melayu terbesar ini,” katanya.

Mengenai calon BN, Norani yakin dengan keupayaan dan komitmen tinggi yang ditonjolkan Datuk Lokman Noor Adam.

Katanya, Lokman adalah aktivis masyarakat yang lantang dalam mempersoalkan isu dan janji PH ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).-MY WD