PETALING JAYA, 28 Julai – Tawar……. Rakyat Malaysia kini berpeluang memenangi sebuah Proton Saga 1.3 Liter (L) dan wang tunai sehingga RM5,000 menerusi penyertaan Projek Video Malaysia (PROVIM 2017) anjuran Media Prima Berhad (MPB).

Kereta buatan nasional itu adalah hasil sumbangan DRB-HICOM Berhad yang julung kali menjadi penaja  PROVIM bertemakan ‘Negaraku’, pertandingan video pendek yang menggambarkan perpaduan kaum dan semangat patriotik di negara ini sempena Hari Malaysia.

Pengarang Eksekutif Berita Digital MPB, Azura Zainal Ratin, berkata mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan video pendek dalam format MP4 berdurasi tidak lebih tiga minit menerusi emel ke [email protected] pada 1 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Katanya, pemenang akan diumumkan pada 16 September ini menerusi Facebook dan berita rangkaian televisyen MPB.

“Kriteria utama dalam memilih pemenang adalah elemen perpaduan yang terdiri daripada masyarakat majmuk di Malaysia, selain berdasarkan kreativiti masing-masing.

“Saya ambil contoh pemenang PROVIM tahun lalu, beliau yang juga seorang pelajar berjaya memaparkan beberapa watak utama yang terdiri daripada individu berbilang kaum.

“Video dihasilkan pelajar berkenaan akan memberi impak besar termasuk kepentingan perpaduan rakyat terhadap negara kepada mereka yang menontonnya khususnya golongan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Kereta Proton Saga PROVIM 2017, di Sri Pentas, Bandar Utama, petang semalam.

Turut hadir Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Mahmood Abdul Razak.

INFO

PROVIM 2017

Juara – Proton Saga 1.3 Liter dan RM5,000

Naib Juara – Tiket pelayaran islamik dan RM3,000

Ketiga – Motosikal jenama Demak dan RM2,000

Kategori Video Popular PROVIM 2017

*Diadili berdasarkan jumlah ‘like’ tertinggi Facebook MPB

* Hadiah wang tunai, RM1,000