KUALA LIPIS, MEI 4:PRU14….Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah bukan satu tempoh untuk rakyat bersuka ria, tetapi merupakan waktu penting untukmmemilih sebuah kerajaan di peringkat pusat dan negeri bagi mewakili suara mereka kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, dalam hal ini sebuah kerajaan yang kuat adalah penting agar pentadbiran negara dapat diteruskan tanpa apa-apa gangguan.

“Bila ada PRU bukan soal nak suka-suka, masa ini kita nak pesta lawan bendera ke apa ke.

“Jangan lupa matlamat kita untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri dan nasional,” katanya.

Dalam hal ini, Najib yang juga calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan menarik perhatian bahawa BN berbanding pembangkang mempunyai perikatan yang kuat dengan parti-parti komponen itu yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang kuat bagi menjaga kebajikan semua kaum di negara ini.

“Kalau harapkan UMNO sahaja tak boleh tubuh kerajaan tetapi dengan ada rakan-rakan kita parti di Sabah dan Sarawak.. dan di sini, MCA, MIC dan Gerakan boleh sumbang pada (menangi) kerusi-kerusi pada PRU.

“Saya tak lupa juga kepada MyPPP, kita dalam keluarga BN, tuan-tuan ingat dalam apa jua keadaan, kalau kita nak minta tolong kita boleh minta tolong daripada kerajaan orang lain, jangan harap ketuk pintu pun dia takkan buka,” katanya.

Perdana menteri berkata beliau selalu mengutarakan bahawa sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, kerajaan perlu berlaku adil dan membuat pertimbangan secara inklusif dan ini telah dilakukan kerajaan BN sedia ada.

“Setiap kelompok dalam masyarakat mesti ada sentuhan daripada kerajaan barulah mereka merasai nikmat pembangunan, pertumbunahn ekonomi dan kekayaan negara.

“Ini berbeza dengan sesetengah negara yang mana mereka berada di peringkat atasan mendapat keuntungan atau limpahan kekayaan yang lebih tetapi di peringkat bawahan kurang ada sentuhan daripada kerajaan,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan tidak percaya kepada sistem ekonomi tanpa intervensi atau “kapitalis semata-mata” di mana menurutnya ekonomi hanya bergantung kepada pasaran sahaja yang akan menyebabkan orang yang lebih kuat mendapat lebih banyak faedah.

“Ini akan lebarkan lagi jurang pendapatan antara rakyat. Sebagai sebuah kerjaaan, kita percaya ekonomi bebas tetapi mesti ada intervensi kerajaan untuk agihkan kekayaan sama rata supaya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana akan tingkat pendapatan mereka dengan lebih cepat lagi “.-MY WD