KUALA LUMPUR, 10 Mac – Sahkan….. Pihak Polis mengesahkan Kim Chol, lelaki Korea Utara yang maut selepas diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu, adalah Kim Jong-nam.
Perkara ini diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat Jong-nam akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Setakat ini tiada ahli keluarga mangsa menuntut mayat, sebab itu kita akan serahkan kepada KKM. Kita sudah selesai dengan mayat itu dan tidak perlukannya lagi,” katanya.
“Kim Chol disahkan sebagai Kim Jong-nam dan maklumat pengesahan itu diterima semalam.
“Bagaimanapun, saya tidak akan mendedahkan cara identitinya dikenalpasti bagi melindungi saksi-saksi, ” katanya.
Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) ketika
menunggu penerbangan untuk ke Macau.
Beliau diserang dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan
mereka mengandungi bahan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf
VX.
Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama
‘Kim Chol’, meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Putrajaya.
Khalid berkata pihak polis telah selesai dalam siasatan terhadap mayat
Jong-nam.
“Kita akan serahkan kepada Kementerian Kesihatan oleh sebab tiada yang
tuntut mayat itu,” katanya.
Ditanya adakah mayat Jong-nam akan diserahkan kepada pihak Korea Utara,
Khalid berkata mengikut peruntukan undang-undang negara ini hanya waris kepada
si mati sahaja yang boleh menuntut sesuatu mayat di mana-mana hospital di
Malaysia.
“Undang-undang kita hanya membenarkan kita mengembalikan mayat, diserah
kepada waris, pada ahli keluarga, oleh kerana tidak ada ahli keluarga yang
menuntut, kita serahlah kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan mereka
selanjutnya,” katanya.  – WD MY