KUCHING, MEI 24: Kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa serius dalam usaha mendapatkan kembali hak keistimewaan rakyat negeri ini yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA-63) sebelum Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa dan tidak mencapai kejayaan berhubung tuntutan tersebut.

Sharifah Hasidah yang dipertanggungjawabkan terhadap per­kara itu berkata, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai usaha untuk merealisasikan tuntutan tersebut sebelum pilihan raya umum lagi.

“Siri rundingan berkenaan penyerahan kembali kuasa daripada kerajaan Pusat kepada negeri te­lah dilakukan melibatkan beberapa fasa.

“Fasa pertama ialah mengenai kuasa pentadbiran diikuti fasa kedua, mengenai hak-hak ne­geri di bawah Perlembagaan yang masih di peringkat rundingan sekarang,” katanya dalam status yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.

Pada Julai tahun lalu, Sharifah Hashidah mengetuai sekumpulan peguam ke London bagi meneliti dokumen asal MA-63.

Mengulas lanjut, beliau berkata, run­dingan dengan Kerajaan Persekutuan se­ma­sa pentadbiran be­­kas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memasuki fasa kedua.

Beliau berkata, bagi tujuan rundingan fasa pertama, Kabinet Persekutuan yang dahulu telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu bagi membincangkan hal-hal berhubung penurunan kuasa.

Mengenai fasa ketiga, jelas­nya, rundingan adalah berkaitan dengan tuntutan kewangan yang mana kedua-dua pihak telah berjaya mencapai kata sepakat dan persetujuan dalam 13 perkara berkaitan penurunan kuasa pentadbiran bersama Kerajaan Persekutuan.

“Semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November 2017, DUN sebulat suara memberi mandat kepada kerajaan negeri untuk berun­ding dengan Kerajaan Persekutuan bagi me­nyelesaikan isu tertunggak berkaitan dengan hak istimewa yang diberikan kepada Sarawak selaras dengan terma, niat dan semangat MA-63 terutama hak ke atas hasil minyak dan gas.

“Kesemua usaha ini dilaksanakan kerajaan negeri sebelum PRU-14 iaitu semasa zaman pentadbiran Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) dan Ketua Menteri sekarang, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Sekarang kita tunggu dan lihat (kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji memenuhi tuntutan MA-63),” katanya.-MY WD