KUALA LUMPUR,JULAI 26:JAWATAN… Sembilan pengarah Khazanah Nasional Bhd, termasuk Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif Tan Sri Nor Md Yusof, meletak jawatan bagi memberi laluan kepada kerajaan baharu memutuskan kepimpinan dan hala tuju dana kekayaan kedaulatan itu, demikian menurut laporan The Straits Times yang berpangkalan di Singapura.

Surat khabar itu berkata, mereka memeterai surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh semasa mesyuarat lembaga pengarah khas pada Selasa.

Pengarah Khazanah Nasional lain terdiri daripada tokoh terkemuka seperti Datuk Sri Nazir Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datok Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah Nasional kerana menyimpang daripada tujuan asal dalam membantu Bumiputera.-MY WD