KUALA LUMPUR, 9 Feb – SENARAI….. Laporan akhir audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menyenaraikan secara kolektif ahli Lembaga Pengarah FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) ketika transaksi sejak 2014 untuk tindakan tata tertib dan undang-undang kata┬áPengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad.

Pihaknya perlu melakukan semakan secara perundangan menerusi firma guaman untuk mengambil tindakan sivil kepada individu yang kini bukan lagi ahli lembaga pengarah atau kakitangan FELDA atau FIC.

Katanya, pegawai yang masih lagi bersama FELDA atau FIC pula boleh dikenakan tindakan turun pangkat dan gaji, tertakluk kepada kuasa yang ada pada jawatankuasa organisasi terbabit.

“Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA akan dibantu firma undang-undang untuk meneliti peruntukkan undang-undang yang boleh diambil bagi memenuhi permintaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyatakan perlunya tindakan tatatertib dan undang-undang diambil.

“Tempoh tiga bulan diberikan kepada Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA dan firma perundangan untuk melengkapkan semakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas, malam tadi.

Pasukan firma audit luar yang dilantik melakukan audit forensik ke atas projek KLVC menyerahkan laporan akhir kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 Februari 2018 untuk meneliti dan bersetuju ia memenuhi objektif pengauditan yang ditetapkan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk ditubuhkan satu Jawatankuasa “Domestic Enquiry” bagi mengambil tindakan atas cadangan dan syor laporan audit itu.

Jawatankuasa Perunding turut ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian di antara FIC dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB).

Jawatankuasa itu disertai Datuk Dr Yusof Ismail, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Datuk Ab Ghani Mohd Ali, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, dan Datuk Seri Ahmad Husni Hussain. – WD MY