SOKONGAN BN TERENGANU CATAT 61 PERATUS

SOKONGAN BN TERENGANU CATAT 61 PERATUS

688
0

KUALA TERENGGANU, FEB  – SOKONGAN…Rakyat Terengganu terus menyokong pentadbiran yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang  melonjak kepada 61 peratus sepanjang tempoh 2017.

Hasil dari kaji selidik, pada tahun 2016 sokongan rakyat negeri ini adalah sebanyak 60 peratus dan pada 2018 menunjukkan peningkatan satu peratus yang diperoleh berdasarkan hasil kaji selidik yang dibuat sekumpulan ahli akademik pada November tahun lalu.

Menteri Besar berkata, kajian turut mendapati tahap keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN meningkat kepada 71 peratus.

“Bagi mengukur penerimaan rakyat terhadap hala tuju negeri, selepas para akademik membuat kajian berjumpa responden dan melihat segala pembangunan, data-data serta statistik akhirnya keputusan memihak kepada kita dengan jumlah positif sebanyak 65 peratus.

“Seterusnya mengenai pe­rasaan terhadap parti politik, sebanyak 54 peratus menyatakan gembira dengan BN sekali gus melepasi jumlah 50 peratus yang direkodkan tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan majlis Pecah Tanah Bangunan UMNO Bahagian Kuala Nerus dan Dewan Konvensyen di samping melancarkan Gerak Gempur Tawan Parlimen Kuala Nerus.

Yang hadir sama, isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Basir Ismail dan Naib Ketua UMNO bahagian, Apli Yusof juga pemimpin ketiga-tiga sayap UMNO negeri yang terdiri daripada Ketua Wanita, Norhayati Ismail; Ketua Pemuda, Khairuddin Mohd. dan Ketua Puteri, Zuraiha Shariza Embong.

Majlis itu dianggap oleh Ahmad Razif menjadi lebih bermakna dengan kehadiran hampir kesemua bekas pemimpin bahagian termasuk Datuk Nasir Ibrahim Fikri; Datuk Rahin Said, Azmi Abdul Rahman, Datuk Hassan Ali dan Mohamad Abu Bakar.

Beliau turut berkata, BN Terengganu berada di landasan be­tul dalam memastikan parti itu terus teguh memerintah negeri ini sekali gus mengisytiharkan ‘serangan’ untuk menawan kembali empat Parlimen yang dikuasai pembangkang pada pilihan raya lalu.

Walaubagaimanapun, beliau menasihatkan agar seluruh kepimpinan UMNO supaya tidak berada dalam keadaan selesa dengan menjadikan soal perpecahan pembangkang sebagai peluang untuk menang kerana kunci kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah membabitkan faktor calon dan kekuatan jentera.

“Calon boleh menang dengan syarat tidak ada ‘peteh keting’, tidak ada musuh dalam selimut dan tidak ada gunting dalam lipatan. Siapa sahaja calon yang membawa bendera BN wajib kita sokong.

“Sudah sampai masanya kita lupakan persengketaan, perbalahan dan permasalahan antara kita serta perlu berjiwa besar. Kalau sudah takdir dia jadi calon, terimalah dan beri sokongan padu kerana kita mahu pemimpin yang me­mimpin Kuala Nerus adalah pemimpin UMNO dan BN,” katanya. – MY WD